Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Selamat Datang ke sekolah SJKC Peng Min, Alor Setar Kedah. Sekolah ini telah terpilih sebagai sekolah showcase Hadis 40 Imam Nawawi Fasa pertama bagi tahun 2026.
Karya ini dihasilkan berasaskan konsep “Ilmu sebagai panduan kehidupan”, dengan menggabungkan unsur tradisional, keislaman dan kemodenan.
Di bahagian sekeliling karya, terdapat tiang bercorak moden. Tiang ini menggambarkan kehidupan manusia pada masa kini yang semakin berkembang dan diselubungi kemajuan teknologi. Walaupun dunia berubah, ilmu agama tetap perlu dijadikan asas yang kukuh dalam kehidupan.
Di sebelah kiri pula terdapat sebuah pondok rumah kecil, dan ruang di dalam rumah tersebut. Pondok ini melambangkan kesederhanaan serta tempat bermulanya kehidupan dan pendidikan. Ia juga mengingatkan kita kepada tempat lahirnya para ilmuwan Islam yang hebat, termasuklah Imam al-Nawawi.
Di sebelah kanan terdapat reka bentuk mihrab. Mihrab melambangkan tempat seseorang menghadap Allah SWT ketika menunaikan solat. Ia membawa maksud bahawa segala ilmu datangnya daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ilmu yang disampaikan oleh Imam al-Nawawi juga berlandaskan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Di hadapan mihrab pula diletakkan sebuah replika buku "Buku Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi". Buku tersebut melambangkan ilmu yang perlu dibaca, dipelajari dan diamalkan. Seperti al-Quran yang sering dibaca selepas solat, hadis juga perlu sentiasa dijadikan panduan dalam membentuk akhlak dan kehidupan seorang Muslim.
Manakala rumput, tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok hijau menggambarkan suasana yang damai, tenang dan menyenangkan. Suasana sebegini sangat penting dalam proses menuntut ilmu kerana hati yang tenang akan lebih mudah menerima pengajaran dan nasihat.
Keseluruhan karya ini membawa mesej bahawa walaupun manusia hidup dalam dunia yang moden, kita tidak boleh melupakan warisan ilmu Islam. Hadis 40 Imam al-Nawawi perlu terus dipelajari, dihayati dan diamalkan sebagai pedoman dalam kehidupan. Semoga karya ini dapat memberi inspirasi kepada murid untuk mencintai ilmu dan menjadikan hadis sebagai panduan hidup.
Sekian, terima kasih









